Dalam setiap aliran ini perlu diberikan perhatian ialah sikap dan cara penyair mengemukakan pemikirannya. Di samping itu turut juga diperhatikan unsur-unsur puisi yang lebih diberikannya penekanan. Hal-hal demikianlah yang akan membezakan sesuatu aliran sastera tersebut.
ALIRAN ROMANTISME
Dasar pemikiran aliran ini ialah ingin menggambarkan kenyataan hidup dengan penuh keindahan dan tanpa cacat cela atau kekurangannya. Jika yang digambarkan itu kebahagiaan, maka kebahagiaan tersebut penuh dengan kesempurnaan. Jika yang digambarkan itu kesedihan, maka penyairnya ingin membaca dengan menitiskan air mata ketika mengikuti atau menghayatinya. Dengan begitu aliran romantik sering dikaitkan dengan sifat sentimental. Unsur perasaan lebih ditonjolkan dan pertimbangan serta pemikiran rasional sering dinomborduakan. Puisi bersifat romantik sentiasa menghidupkan perasaan pembaca. Kecenderungan menggambarkan keindahan alam seperti bunga, tumbuhan, sungai ,laut, gunung, bulan dan seumpamanya, adalah didasarkan kepada kepantingan memperindah kenyataan itu.
Dalam puisi Melayu moden zaman permulaan di Malaysia penyair-penyair seperti Pungguk dan Abu Samah dapat digolongkan sebagai penyair romantik. Di Indonesia pula Muhammad Yamin zaman permulaannya dan Amir Hamzah dalam Angkatan Pujangga Baru.
Kumpulan puisi Buah Rindu (1941) dan Nyanyi Sunyi (1937) karya Amir Hamzah, pada hakikatnya adalah rakaman kedukaan penyair setelah kecewa untuk hidup bersama gadis pujaanya kerana mengikut serta mematuhi adat dan terpaksa berkahwin dengan pamannya. Meskipun kemudian kedukaan hatinya itu, terutama puisi dalam kumpulan Nyanyi Sunyi, lebih mengarah kepada renungan-renungan bersifat keagamaan tetapi pemahaman kita terhadap sebab terhasilnya kumpulan puisi ini dapat membantu kita mentafsir aliran serta pemikiran puisinya. Contoh puisi aliran romantik ini dapat dilaihat daripada petikan puisi 'Kemegahan' karya Muhamman Yamin:
Di dalam mimpi di tengah malam
Kulihat langit, hijau nirmala
Bertabur bintang berseri silam.
Kemudian kejora di tengah kelam
Timbul berseri intan kemala
Menyinari bumi di atas alam.
Dalam tahun 1950-an, di Malaysia penyair yang begitu terkenal mengikuti aliran romantik ialah Tongkat Warrat. Puisinya, seperti 'Ke Makam Bunda', 'Gadis di Kuburan' ini adalah dia antara contohnya yang jelas. Dalam puisi 'Ke Makam Bunda' perasaan begitu di berikan penekanan oleh penyairnya. Gambaran alam dan kenangan penyair serba indah, suci dan mulia. Umpamanya, seperti petikan berikut:
Senyum kemboja menghantar kami,
Meninggalakn makam sepi sendiri,
Damailah bunda dalam pengabadian,
Insan kerdil menghadap Tuhan.
Begitu bakti kami berikan,
Tiada sama bunda melahirkan,
Kasih bunda tiada sempadan,
kemuncak murni kemuliaan insan.
ALIRAN REALISME
Aliran ini menggambarkan sesuatu berdasarkan keseluruhan kenyataan atau realiti yang sebenarnya ada, iaitu apa yang ditemui, dilihat dan dirasakn. Dalam penggambaran atau pemerian itu, batas-batas larangan, hal-hal yang tidak sopan dan tidak sewajarnya digambarkan, akan dihindarkan oleh penyair atau penulisnya. Dengan ini bermakna, penyair sentiasa mempertahankan nilai-nilai kehalusan serta kemuliaan budi.
Dalam realisme, penggambaran kejadian atau peristiwa dilaksanakan secara teliti. Namun segala yang digambarkan itu, dikemukakan secara wajar, iaitu tidak dilebih-lebihkan dan tidak juga dikurangkan. Jika yang digambarkan itu tokoh manusia, tidaklah diungkapkan gambaran sifat, perlakuan atau keistimewaannya dengan tokok tambah mengikut kebebasan keinginan penyairnya. Begitu juga jika yang digambarkan itu tentang gunung, sungai, sawah dan suasana alam lainya akan hanya berdasarkan yang wujud sahaja. Dengan demikian, kata-kata yang semata-mata untuk memperindah tidak digunakan.
Jika dihubungkan denagn perkembangan jiwa seseorang, maka masa dewasa merupakan masa seseorang berfikir secara realiti. Cinta yang digambarkan dalam puisi-puisi realisme tidak disertai dengan kata-kata yang indah-indah. Penyair akan berbicara secara objektif, iaitu setiap penyairnya tidak menyatakan tentang baik atau buruksesuatu atau dengan kata lain tanpa penilaian daripada perasaan dan pemikirannya. Dengan begitu, pembacalah yang akan memberi kesimpulan sendiri. Lantaran semuanya inilah terdapat persamaan Aliran Realisme dengan Aliran Naturalisme, aliran yang dianuti oleh Emile Zola (1840-1902).
Dalam perkembangan puisi di malaysia, tahun-tahun 1950-an adalah tahun-tahun kemunculan aliran realisme yang jelas. Antaranya, puisi-puisi yang dihasilkan oleh Masuri S.N, seperti puisi 'Kepada Manusia Baru', (Utusan Zaman, 8 ogos 1954) sebagai petikan berikut:
Aku sudah satu kali lihat perang
Bom gugur dari kapal terbang
Rumah hancur bangkai berserak tulang
Di sini menangis di sana mengerang
Aku lihat juga manusia curang
menerkam ganas merampas barang
Berani menjilat asal dapat bintang
Peduli seribu jadi arang.
ALIRAN REALISME SOSIAL
Aliran ini mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat atau golongan yang menderita, iaitu buruh, petani dan nelayan. Tujuan penyuaraan atau penggambaran kenyataan ini untuk membangkitkan kesedaran menentang golongan kapitalis. Dengan demikian, puisi-puisi yang membawa aliran realisme sosial, pada keseluruhannya lebih cenderung berpihak kepada golongan yang menderita. Pernah juga aliran ini wujud melalui perjuangan parti politik, terutama di negara Komunis atau penulis dan golongan yang cenderung kepada fahaman sosialis.
Di Malaysia, puisi Melayu moden yang agak jelas membawakan aliran realisme sosial, mula muncul dan berkembang dalam tahun 1950-an, tokoh penyairnya seperti Tongkat Warrant walaupun bukan secara langsung terlibat dalam parti politik sosialis tetepi kecenderungan untuk memperjuangkan golongan bawahan yang menderita adalah didorong oleh faktor-faktor lain, terutama latar keluarga dan pengalaman hidupnya. Puisi beliau yang bertajuk 'Pak Utih dan 'Buruh' dalam antalogi Gelombang (1961) dapat dikemukakan sebagai membawakan aliran realisme sosial. Dalam puisi 'Buruh', antaranya disuarakan:
Barisan yang sudah kebal dengan dugaan,
Dengan kekuatan waja tidak terlumpuhkan;
Berpadu dalam satu barisan gagah,
Kaum buruh yang insaf sederap mara ke depan.
Sesekali bergerak berentak melepas cekik,
Untuk keadilan dari tulang dan peluh bertitik;
Demikian mereka penuh semnagat sedang berjuang,
Dan kita penuh hormat memberikan tunjangan.
Pada sajak 'Pak Utih' yang dihasil oleh Tongkat Warrant dalam tahun 1954, yang lebih banyak ciri-ciri aliran realisme, diperkembangkannya dalam tahun 1974, menjadi aliran realisme sosial atau kritik sosial dalam tajuk 'Pak Utih (2)', antarnya:
Pak Utih punya sepuluh cucu
Ditimangnya tiap pagi
Dinyanyikannya lagu;
timang tinggi-tinggi
dapur tak berasap
bila besar nanti
duduk dalam lokap.
Aliran ini lebih tegas dan berkesan dibawakan oleh Kassim Ahmad, seperti dalam antologi Kemarau di Lembah (1967). Umpamanya, puisi 'Dialog', seperti petikan berikut:
tidurlah ibu
kita manusia kerdil
siang membanting tulang
malam menanggung bimbang
ada besok maka pasti ada suria
aku akan pergi
dengan seribu Jebat si anak tani
kian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam derhaka!
Dari contoh-contoh ini menunjukkan bahawa aliran realisme sosial, dari segi gaya bahasanya lebih mengutamakan bahasa biasa dan mudah difahami. Di samping terdapatnya nada sinis turut juga terdapat pernyataan sikap penyairnya yang revolusioner, seperti yang jelas terlihat pada Kassim Ahmad.
Di indonesia pula, aliran realisme sosial menemui perkembangannya yang pesat antara tahun 1962 hingga tahun 1965, iaitu ketika LEKRA (Lembaga Kebudayaan Rakyat), begitu berpengaruh dan berkuasa dalam bidang kebudayaan dan kesenian di Indonesia.
Kepincangan-kepincangan sosial dalam masyarakat banyak diungkapkan dalam puisi. Antaranya oleh penyair-penyair seperti Hr.Bandaharo, Taufiq Ismail dan W.S Rendra. Melalui puisinya 'kawan Separtai Bekerja', Hr. Bandaharo, antaranya mengungkapkan penderitaan kaum buruh dan petani, demikian:
kau mati di ladang-ladang
kau mati di kolong jambatan
kau mati lapar di tepi pasir
di mana saja kau mati sebagai kuli
di mana saja kau mati terkapar dimamah lapar
di setiap tapak tanah peluh dan darah
kau curahkan sebagai pahlawan.
Taufiq Ismail dan W.S Rendra pula lebih banyak melukiskan penderitaan rakyat golongan bawahan sebagai akibat daripada penyelewengan para pemimpin. Antaranya Taufiq Ismail menyuarakan melalui puisi 'Kemis Pagi' dalam Tirani (1966) seperti berikut:
Mereka merencanakan seratus mahligai raksasa
Membeli benda-benda tanpa harga di manca negara
Dan memperolehi wang emas beratus juta
Bagi diri sendiri, di bank-bank luar negeri
Merekalah pengatur jina secara terbuka
Dan menistakan kehormatan wanita, kaum dari ibu kita.
Begitulah aliran realisme sosial dalam puisi dan karya sastera umumnya. Pengungkapan atau penyuaraan persoalannya diberikan penekanan kepada perjuangan golongan rakyat yang menderita.
Untuk menyedarkan hakikat perjuangan tersebut, cara penyampaian dengan bahasa biasa sentiasa diutamakan. Di samping itu, aliran ini akan mudah menemui perkembangannya apabila jurang perbezaan hak dan keadilan sosial antara golongan bawahan dengan golongan atasan bertambah luas serta unsur-unsur penyelewengan. kepura-puraan dan kepentingan diri menjadi berleluasa pula.
ALIRAN EKSPRESIONISME
Aliran ini penyairanya tidak mengungkapkan kenyataan secara objektif melainkan secara subjektif. Dengan demikian, sesuatu yang diekspresikan adalah gelora dan kehendak jiwanya. Jadi, setiap puisi ynag terhasil membawakan aliran ekspresionisme, tidak mengambarkan alam atau kenyataan dan tidak juga kesan terhadap alam atau kenyataan tetapi cetusan langsung dari jiwa penyairnya. Antara contohnya puisi 'Aku' dalam Deru Campur Debu (1949) karya Chairil Anwar.
Puisi tersebut merupakan eksperisi jiwa penyair yang inginkan kebebasan dari semua kongkongan, belenggu atau ikatan. Penyair tidak meniru atau menyuarakan kenyataan alam tetapi secara jelas, tegas dan lantang menyuarakan sikap jiwanya:
Kalau sampai waktuku
ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau.
Sekiranya penyair menghadapi pedih derita, tidak dihuraikannya tetapi menjadikan dirinya lebih dinamis, bersemangat dan lebih ghairah untuk hidup.
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi.
Walaupun dalam aliran ekspresionisme ini akan ditemui pengunaan unsur alam, tetapi unsur tersebut menjadi landasan pengunaan unsur alam, tetapi unsur tersebut menjadi landasan ekspresi jiwa penyairnya, seperti yang terlihat dalam petikan puisi 'Surat dari Ibu' karya Asrul Sani berikut ini:
Pergi ke laut lepas, anakku sayang
pergi ke alam bebas
Selama hari belum petang
dan warna senja belum kemerah-merahan
menutup pintu waktu lampau.
Demikianlah aliran ekspresionisme ini lebih memberi penekanan kepada sikap penyairnya yang dilahirkan dalam bentuk pengakuan seperti puisi 'Aku' atau dalam bentuk saranan seperti puisi 'Surat dari Ibu' itu. Dari segi bahasa pula lebih mengutamakan pemilihan kata yang tepat serta padat untuk menimbulkan kesesuaian dengan ekspresi jiwa penyair.
ALIRAN IMPRESIONISME
Aliran ini adalah perkembangan dari aliran realisme. Kenyataan dalam aliran impresionisme menimbulkan kesan-kesan tertentu dari dalam diri penyair. Sesuatu yang dikemukakan pada puisi adalah kesan penyair setelah menghayati kenyataan hidup. Objek kenyataan hidup itu boleh terbentuk daripada manusia, benda ,peristiwa, suasana dan sebagainya. Namun demikian, kenyataan tersebut bukan hanya digambarkan apa yang ada teteapi yang lebih penting ialah menimbulkan kesan atau bertujuan menimbulkan maksud peribadi penyair.
Kesan-kesan yang timbul dari kenyataan hidup diolah dalam jiwa penyair dan kemudian penyair membuat pemerian atau deskripsi tentang kesan itu pada baris-baris dan rangkap-rangkap puisinya. Oleh itu, sifat dan maksud utama puisinya adalah untuk menjelaskan kesan yang terdapat dalam pemikiran, perasaan dan kesedaran penyair bukan mendeskripsikan kenyataan itu secara terperinci. Sesuai dengan sifat dan maksud tersebut maka ciri-ciri bahasa puisi aliran impresionisme ini lebih mengutamakan pemilihan kata yang tepat, mempunyai kesatuan imej dan penyusunan yang seimbang.
Puisi Sanusi Pane seperti 'Candi Mendut', 'Teratai' dan puisi W.S. Rendra seperti 'Ciliwung yang Manis' adalah contoh puisi aliran impresionisme. Berikut, dikemukakan puisi 'Teratai' karya Sanusi Pane:
Kesan-kesan yang timbul dari kenyataan hidup diolah dalam jiwa penyair dan kemudian penyair membuat pemerian atau deskripsi tentang kesan itu pada baris-baris dan rangkap-rangkap puisinya. Oleh itu, sifat dan maksud utama puisinya adalah untuk menjelaskan kesan yang terdapat dalam pemikiran, perasaan dan kesedaran penyair bukan mendeskripsikan kenyataan itu secara terperinci. Sesuai dengan sifat dan maksud tersebut maka ciri-ciri bahasa puisi aliran impresionisme ini lebih mengutamakan pemilihan kata yang tepat, mempunyai kesatuan imej dan penyusunan yang seimbang.
Puisi Sanusi Pane seperti 'Candi Mendut', 'Teratai' dan puisi W.S. Rendra seperti 'Ciliwung yang Manis' adalah contoh puisi aliran impresionisme. Berikut, dikemukakan puisi 'Teratai' karya Sanusi Pane:
Teratai
(Kepada Ki Hajar Dewantara)
Di dalam kebun di tanah airku
Tumbuh sekuntum bunga teratai
Tersembunyi kembang indah permai
Tiada terlihat orang yang lalu.
Akarnya tumbuh di hati dunia
Daun berseri, Laksmi mengarang
Biarpun dia diabaikan orang
Seroja kembang gemilang mulia
Teruslah, O, Teratai bahagia
Berseri dikebun Indonesia
Biarkan sedikit penjaga taman
Biarpun engkau tiada dilihat
Biarpun engkau tiada diminat
Engkau turut menjaga zaman.
Puisi ini tidak mengambarkan teratai sebagai bunga secara terperinci tetapi sebagai lambang untuk tokoh yang dikagumi oleh penyair, iaitu Ki Hajar Dewantara. Isi puisi ini pula berupa kesan penyair terhadap tokoh tersebut. Antaranya, tentang kerendahan hati tokoh itu laksana teratai yang tumbuh di kolam. Dirinya tidak dikenali ramai, tidak diminati dan diabaikan; tetapi gagasannya diterima secara umum dan menjadi dasar pemikiran di peringkat dunia. Di sini, penyair menyatakan sikap atau kesan peribadinya, iaitu dalam rangkap ketiga dan keempat, bahawa Ki Hajar Dewantara perlu meneruskan cita-citanya walaupun tidak dikenali atau diminati, namun perjuangannya abadi dalam zaman dan sejarah.
Di Malaysia pula, Baha Zain banyak juga menghasilkan puisi aliran ini. Antaranya puisi beliau seperti Sketsa Anak Kecil', 'Malam Berbau Lilin' dan 'Gelombang Kenangan' yang termuat dalam Perempuan dan Bayang-bayang (1974), iaitu antalogi puisi pertama beliau.
ALIRAN IMAJISME
Aliran ini mengutamakan pemerian kenyataan dalam magis visual penyair yang sempurna dan jelas. Oleh itu, kata-kata dipilih secara cermat dan berkesan. Kata-kata atau bahasa yang dipilih itu adalah kata-kata sehari-hari tanpa terikat kepada pembentukan irama. Ini menyebabkan puisi aliran tersebut mirip kepada prosa. Tokoh penyair aliran imajis yang terkenal di Indonesia ialah Sapardi Djoko Damono dengan antalogi puisinya seperti Dukamu Abadi (1969), Mata Pisau 91974) dan Akuarium (1974). Manakala di Malaysia pula, aliran ini banyak ditemui pada puisi Latif Mohidin. Namun bentuk puisinya tidak mirip kepada prosa secara jelas; imaji dalam puisinya timbul pada kekeutan bahasa, seperti yang terlihat dalam puisinya, 'Sungai Mekong' yang terkenal itu. Berikut ini diperturunkan Bahagian 3, iaitu bahagian akhir puisi tersebut yang termuat dalam Kembara Malam (1974):
Sungai mekong
akhirilah tarisiang riakmu
kulihat di dasarmu
kuntum-kuntum berdarah
batu-batu luka
malam ini
ribut dari utara akan tiba
tebingmu akan pecah
airmu akan merah
dan arusmu akan lebih keras
dari niagara
Begitulah yang terlihat kekuatan bahasa Latif walaupun pada keseluruhannya terdiri daripada kata-kata sehari-hari. Pemilihan dan penyususnannya seperti 'Kuntum-kuntum berdarah' dan 'batu-batu luka adalah antara contohnya.
KESIMPULAN
Aliran kesusasteraan dapat umumnya, mempengaruhi sikap atau pandangan hidup seseorang penyair dan sasterawan. Pengaruh ini, dapat ditemui pada tema atau pemikiran dan gaya bahasa dalam puisi mereka. Denagn itu, 'aliran kesusasteraan' turut membantu ke arah pemahaman dan penghayatan puisi. Namun, pemahaman latar penyair, latar zaman karyanya dihasilkan serta perkembangan sejarah sepanjang kegiatan penghasilan puisinya, tidak sewajarnya pula diabaikan. Segala ini menunjukkan pemahaman 'aliran kesusasteraan' akan menjanjikan keupayaan pemahaman dan penghayatan sesebuah puisi luas, mendalam.